Sabtu, 11 Ogos 2007
RAWATAN MABUK LAUT
BIASANYA, kita kurang berminat untuk memberi pertolongan kepada rakan pancing yang muntah-muntah dalam bot ketika keluar memancing. Alasannya kerana bimbang kita pun turut sama akan muntah.Sepatutnya menjadi tanggungjawab anda untuk memberi rawatan kepada mereka yang menghadapi situasi berkenaan. Sekurang-kurangnya mengurut tengkuk mangsa supaya muntah keluar lebih lancar supaya lebih cepat lega.Rakan yang muntah sudah tentu tidak berdaya untuk bangun atau bergerak jika keadaan berlarutan. Langkah pertama, anda harus membantu mereka supaya duduk bersandar dan memicit bahagian tengkuk serta pangkal telinga dengan perlahan-lahan. Mangsa muntah perlu diberi minum air suam dengan banyak bagi mengelak daripada kering mulut dan perut.Malah jika perlu bancuh air gula bercampur garam bagi menggantikan cecair badannya yang sudah habis keluar bersama muntah. Jika ini dilakukan, mangsa akan lebih cepat segar.Dengan apa cara sekali pun perut mesti diisi. Ini kerana selepas menerima minuman atau makanan ringan, mangsa akan muntah semula. Anda jangan panik kerana ini satu cara rawatan yang perlu lakukan.Rakan yang muntah perlu direhatkan daripada sebarang aktiviti memancing demi untuk memulihkan kesihatan dan kesegaran tubuhnya. Namun dalam apa jua keadaan, mangsa muntah perlu dikawal kerana ketika memancing dalam bot, kemudahan rawatan adalah terhad. Justeru, anda adalah jururawat dan anda juga doktor ketika itu.Langkah terbaik, rehatkan mangsa muntah dalam keadaan separuh berbaring di luar kabin atau di tempat terbuka. Kalau boleh di belakang bot. Ini untuk mendapat udara laut yang segar. Tetapi ingat, pastikan mangsa tidak menyedut asap enjin kerana boleh memburukkan keadaan.Mangsa muntah jangan diganggu. Benarkan mereka tidur terus sehingga terjaga sendiri. Insya-Allah mereka yang terbabit itu akan beransur pulih dan dapat meneruskan aktiviti memancing. Tetapi anda tidak perlu memaksa diri mereka untuk melawan pening dan muntah selepas baru pulih.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan